KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusann yang memihak kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, dan mengarahkan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff, membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 berikutan kenyataan fitnah yang dibuatnya lapan tahun lepas.

Keputusan itu dibacakan oleh Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang membenarkan tuntutan Hannah selepas menolak hujah defendan bahawa beliau tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman tersebut.

Saman fitnah yang difailkan pada 2022 itu tercetus daripada dua hantaran Facebook oleh Kamarul Zaman antara 10 dan 17 Mei 2017, dengan beliau mendakwa Hannah mempunyai agenda memurtadkan dan menggunakan platform politiknya untuk mempromosikan agama Kristian.

Beliau juga merujuk kepada autobiografi Hannah bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey sebagai bukti kepada agenda Kristian yang didakwa, serta mendakwa Hannah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Dalam penyataan pembelaannya, Kamarul Zaman menafikan bahawa hantaran tersebut adalah fitnah dan menegaskan kenyataannya adalah berasas.

Hakim Aliza berkata sekiranya defendan benar-benar percaya plaintif telah melakukan suatu kesalahan, tindakan yang wajar ialah dengan membuat laporan polis. Sebaliknya, defendan memilih untuk menerbitkan kenyataan tersebut di Facebook.

Beliau berkata penerbitan kenyataan fitnah itu tidak dipertikaikan, malah berdasarkan tajuk dan kandungan, jelas kenyataan berkenaan ditujukan secara khusus terhadap plaintif.

Mahkamah turut menolak hujahan pihak pembelaan bahawa penerbitan pertama disasarkan kepada parti politik DAP secara umum, dan bukannya kepada plaintif secara peribadi.

“Malah, dalam penyataan pembelaan defendan sendiri, nama plaintif disebut secara khusus, manakala tajuk artikel tersebut menjadikan sasaran kenyataan itu tidak dapat disangkal lagi.

“Fahaman peribadi defendan mengenai buku tersebut tidak relevan; kerana yang penting adalah bagaimana pembaca biasa mentafsirkan kenyataan itu.

“Pembaca secara munasabah akan mempercayai bahawa plaintif menyebarkan ajaran Kristian secara tidak sah dan secara tersirat, melakukan jenayah,” katanya.

Hakim Aliza membenarkan tuntutan plaintif selepas mendapati plaintif berjaya membuktikan kesnya berdasarkan standard imbangan kemungkinan serta membuktikan bahawa defendan bertindak dengan niat jahat.

“Mahkamah mengarahkan defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk sebanyak RM400,000 kepada plaintif, iaitu RM200,000 bagi setiap penerbitan dan RM80,000 sebagai kos,” katanya.

Namun, mahkamah menolak permohonan Hannah agar Dr Kamarul Zaman mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, dengan alasan bahawa tindakan sedemikian boleh dianggap tidak ikhlas.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan injunksi untuk menghalang defendan, pekerja atau ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut atau sebarang kenyataan serupa.

Hannah hadir di mahkamah hari ini bersama peguamnya Sangeet Kaur Deo, manakala defendan Dr Kamarul Zaman Yusoff, tidak hadir.

Hannah ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada peguamnya yang bekerja keras untuk mendapatkan keadilan untuk dirinya dalam kes itu.

“Setelah sekian lama difitnah, akhirnya keadilan memihak kepada saya...ini sememangnya satu tuduhan yang tidak benar dan saya telah berdoa sejak 2017. Saya berharap, tiada lagi pihak selepas ini memainkan sentimen agama dan mengeluarkan fitnah yang langsung tidak benar mengenai saya dan buku saya.

Mengulas lanjut, beliau berkata mahkamah turut menyatakan bahawa isu yang dibangkitkan dalam kenyataan fitnah itu melibatkan sentimen agama.

“Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, tindakan mengaitkan sentimen agama dalam bentuk sedemikian diibaratkan seperti bermain dengan api.

“Ia sesuatu yang berbahaya, apatah lagi apabila difitnah. Islam juga melarang perbuatan fitnah,” katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan.