MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta semua pihak memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesaikan proses rayuan berhubung hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata penubuhan suruhanjaya siasatan ketika ini dianggap terlalu awal kerana kes berkenaan masih dalam proses rayuan di peringkat badan induk bola sepak dunia itu.
“Biar FAM lengkapkan dulu rayuan. Kalau rayuan pun belum selesai, kita dah mula buat siasatan atau tubuhkan suruhanjaya itu ibarat ‘bertindak sebelum masanya’,“ katanya selepas mengadakan lawatan ke kem final klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia.
Terdahulu, FIFA mengeluarkan penghakiman penuh serta alasan di sebalik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain warisan.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan tindakan itu diambil susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA melibatkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.
Siasatan mendapati beberapa dokumen sokongan yang dihantar oleh FAM mengandungi butiran yang tidak sepadan dengan rekod asal dari negara kelahiran sebenar pemain berkenaan.
Tujuh pemain yang digantung selama 12 bulan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Mengenai kemungkinan bantuan KBS kepada FAM atau pemain terlibat, Hannah berkata tiada permintaan diterima setakat ini daripada badan induk bola sepak negara itu.
“Setakat ini, tiada bantuan diperlukan daripada KBS kerana FAM mempunyai peguam mereka sendiri dan lebih arif mengenai peraturan FIFA,“ katanya. – Bernama