KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95 kekal tidak berubah pada RM2.05 seliter untuk minggu ini, menurut kenyataan rasmi Kementerian Kewangan (MOF).
Sementara itu, harga RON97 meningkat tiga sen seliter daripada RM3.18 kepada RM3.21 bagi tempoh 17 hingga 23 Julai.
Bagi diesel, harga runcit di Sabah, Sarawak, dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Namun, di Semenanjung Malaysia, harga diesel naik tiga sen seliter daripada RM2.88 kepada RM2.91.
MOF menjelaskan bahawa penetapan harga ini berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), yang mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit petrol RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,“ menurut kenyataan rasmi.
Kementerian itu turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin. – Bernama