KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan akan memperhebatkan kerjasama dengan Kelantan bagi memastikan segala perancangan berkaitan belia di negeri itu, dapat dijadikan sebagai agenda yang mendatangkan manfaat besar.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli berkata ini kerana negeri itu mempunyai potensi belia berkualiti, yang sentiasa bersedia mempamerkan kekuatan dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata belia di negeri berkenaan akan diberikan perhatian rapi daripada pelbagai aspek, termasuk pembangunan karakter dan jati diri.

“Ia menjadi titik penting untuk kita bersama-sama berusaha memastikan belia di negara ini sentiasa diperkasa dengan kepelbagaian kemahiran, untuk muncul lebih bertenaga dan berfikiran kritis.

“Oleh itu, saya menyeru seluruh pertubuhan belia khususnya Majlis Gabungan Belia Kelantan, untuk mempergiatkan usaha meningkatkan penyertaan golongan belia di negeri ini dalam organisasi belia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2024, di sini, hari ini.

Adam berkata langkah berkenaan penting dan merupakan sebahagian tindakan untuk meningkatkan kapasiti kepimpinan masa hadapan, serta mengasah kemahiran sebagai pemimpin dalam kalangan anak muda tempatan.

“Saya mahu melihat seluruh pertubuhan belia di Kelantan menjadi contoh di peringkat nasional, sebagai kelompok pertubuhan belia yang berupaya berdiri sendiri dan maju sebagai organisasi,” katanya.

Adam berkata beliau berharap semua pihak berkaitan belia terlibat dalam soal pembangunan belia-belia di negeri dan menganggapnya sebagai satu komitmen.

Beliau berkata soal pembangunan belia-belia negeri penting, dalam memberi ruang kepada mereka untuk berkembang dengan positif.

Hari Belia Negara disambut pada setiap 15 Mei.

Penganjurannya diyakini dapat memperkukuhkan potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara dan memperluaskan akses belia kepada inisiatif dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, seiring dengan kerangka Malaysia MADANI serta model Pembangunan Belia MADANI 2030.