Your Title

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim hari ini mengangkat sumpah jawatan serta taat setia sebagai Hakim Besar Malaya.

Hasnah, 65, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Akhtar Tahir pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini.

Dilahirkan pada 15 Mei 1959 di Kuantan, Pahang, Hasnah sebelum ini memulakan kerjayanya sebagai pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara pada tahun 1983 dan sejak itu memegang beberapa jawatan penting antaranya Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1994 dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (Januari 2009 hingga Mei 2010).

Hasnah juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Hakim Mahkamah Rayuan.

Turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan ialah Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, 56 tahun.

Ahmad Terrirudin yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968 mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 Sept 2023 sebelum mengakhiri tugas rasmi beliau sebagai Peguam Negara semalam (11 Nov).

Ahmad Terrirudin yang memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang di Bank Negara pada 1992 sudah berkhidmat di pelbagai kedudukan termasuk Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (2007) dan kemudian dilantik Pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah menjadi Timbalan Ketua Bahagian Guaman III di Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah sebelum dilantik Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2019.

Lapan Hakim Mahkamah Tinggi turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, Datuk Faizah Jamaludin, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Datuk Ismail Brahim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Sementara itu, 15 Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hasnah.

Mereka ialah Azizan Md Arshad, Narkunavathy Sundareson, Noor Ruwena Md Nurdin, Jamhirah Ali, Noor Hayati Mat, Azlan Sulaiman dan Kenneth Yong Ken Chinson St. James.

Hakim Mahkamah Tinggi yang lain ialah Leong Wai Hong, Noor Hisham Ismail, Roz Mawar Rozain, Wan Fadhilah Nor Wan Idris, Rofiah Mohamad, Wong Mee Ling, Datuk Raja Ahmad Mokhzanuddin Shah Raja Mohzan dan Suria Kumar D.J. Paul.

Zaleha Mohd Yusuf Pan, 52, pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.