PUTRAJAYA: Hasrat Pakistan untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN akan dibawa ke perbincangan bersama ketua-ketua negara serantau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Itu (perkara) akan dibawa ke persidangan dan perbincangan ketua-ketua ASEAN,” kata beliau secara ringkas kepada media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Pakistan memperbaharui usaha untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN.
Semalam, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan Syed Ahsan Raza Shah dilaporkan berkata negaranya memperbaharui usaha untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN, sebagai komitmen Islamabad untuk memperkukuh kerjasama serantau dan penglibatan dengan blok itu.
Pakistan, yang merupakan rakan dialog sektoral pertama ASEAN sejak 1993, telah lama menghargai kerjasama dengan blok serantau itu dan berhasrat memperluas lagi kerjasama sedia ada.
Pada Oktober lepas, Anwar dipetik berkata Malaysia memberikan sokongan penuh terhadap usaha Pakistan menjadi rakan dialog penuh ASEAN.
Sementara itu, mengenai Pakistan yang mengalu-alukan tawaran Anwar untuk menjadi pengantara dalam ketegangan antara India dan Pakistan, beliau berkata Malaysia cuma mengharapkan penyelesaian damai sahaja.
“Saya tak ada peranan apa-apa, cuma berikan pandangan sahaja,” kata beliau.
Terdahulu, Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 15,000 jemaah di Masjid Putra, di sini.
Anwar yang lengkap berbaju Melayu berwarna biru cair tiba pada 7.50 pagi, disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Perdana Menteri turut menyertai takbir raya bersama para jemaah, sebelum menunaikan solat yang dipimpin Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.
Beliau seterusnya mendengar khutbah Aidiladha bertajuk “Korban dan Semangat Kebersamaan” yang antara lain menekankan kepentingan niat, adab dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadah korban.
Sebelum beredar, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah yang hadir.