KUANTAN: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan pelaburan dan fitnah melalui media sosial yang semakin berleluasa bagi mengelak menjadi mangsa.

Beliau berkata masyarakat perlu peka dan membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan.

“Saya risau masalah kita hadapi antara lain ialah scam, klik pautan dapat RM500 bantuan, (tetapi) bila tekan keluar lain ... sekiranya anda mendapat panggilan daripada pihak tidak pasti, tolong semak, setidak-tidaknya jangan layan dulu dan buat semakan.

“Scammer sentiasa berusaha untuk tipu kita dengan cara paling senang ... jangan mudah percaya,“ katanya ketika berucap pada Program Jiwa MADANI di Dewan Semai Bakti Felda Bukit Goh di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Bahagian Koordinasi Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya dan Ketua Pengarang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.

Sementara itu, Fahmi menyarankan orang ramai agar menonton segmen “Biar Betul” siaran RTM setiap 7.59 malam atau aplikasi TikTok Biar Betul bagi mendapatkan maklumat terkini dan tepat.

“Bila sediakan Internet yang laju masalah kita ialah fitnah juga boleh sampai kepada kita dengan lebih laju daripada Internet itu, dan sebab itu setiap malam di RTM kita mainkan segmen Biar Betul.

“Supaya setiap hari fitnah yang berlegar dapat diuruskan dengan baik kerana sekiranya timbul persepsi salah, dan sering kali disampaikan kepada orang lain, fitnah itu burukkan keadaan ... saya perlu sampaikan peringatan ini walaupun tak begitu sedap didengar sebab masalah scam (penipuan) berleluasa, hati-hati fitnah dan scam,“ katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata isu capaian Internet di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah antara yang akan diberikan keutamaan oleh kementeriannya.

“Saya bincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ... dan memang isu-isu melibatkan IPTA akan kita berikan keutamaan tahun ini, nanti kita dapatkan sedikit maklumat untuk cari penyelesaian lebih baik,“ katanya.

Terdahulu, Fahmi meluangkan masa melawat gerai pameran dan Jualan Rahmah Bergerak selain menyantuni masyarakat Felda Bukit Goh pada program berkenaan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image