KUALA LUMPUR: Pameran interaktif ‘Semak Fakta’ anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Karnival HAWANA 2025 bertujuan mendidik orang ramai tentang cara mengenal pasti serta mengesahkan maklumat meragukan, khususnya di platform media sosial.

Ketua Meja MyCheck Malaysia (unit semakan fakta Bernama) Fatin Najmi Mohammad Shah berkata inisiatif itu bukan sahaja memperkenalkan peranan Bernama dalam menentusahkan maklumat tular, malah menunjukkan komitmen agensi berita itu dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kandungan yang tidak sahih.

“Kita mahu masyarakat dapat mengenal pasti perkara meragukan dengan pantas. Bila melihat sesuatu kandungan, mereka terus dapat menilai sama ada ia sahih atau sebaliknya. Ini penting dalam membentuk pengguna media yang bijak dan bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui di reruai MyCheck Malaysia di Ruang Legar Sunway Putra Mall, di sini hari ini.

Beliau berkata objektif utama reruai itu adalah untuk membina kesedaran agar masyarakat tidak hanya bergantung kepada platform semakan seperti MyCheck Malaysia semata-mata, sebaliknya mampu melakukan semakan kendiri sebelum mempercayai atau menyebarkan maklumat.

Selain itu, menerusi reruai MyCheck Malaysia, pengunjung turut berpeluang menyertai permainan interaktif dan kuiz serta memenangi hadiah menarik, selain mengikuti sesi siaran langsung MyCheck Malaysia di konti Bernama Radio hari ini serta pembentangan Pocket Talk pada Ahad yang bertujuan meningkatkan literasi media dan kesedaran terhadap kepentingan semakan fakta.

Sementara itu, pengunjung reruai MyCheck Malaysia, Nurjannah Najiah, 20, berkata kunjungannya ke reruai tersebut memberikan pengalaman baharu yang bermanfaat dalam mengenal pasti cara menilai kesahihan maklumat, sekali gus meningkatkan kefahaman tentang pentingnya semakan fakta dalam era digital.

“Kami memang tahu tentang Bernama, tetapi tidak tahu secara mendalam mengenai peranannya. Hari ini baru saya tahu bahawa Bernama juga ada unit semakan fakta seperti MyCheck Malaysia,” katanya yang juga pelajar Diploma Komunikasi Korporat dari Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).

Sebagai pelajar tahun kedua yang bakal menjalani latihan industri, beliau berkata pendedahan seperti itu sangat membantu dalam memahami dunia media dan proses semakan fakta dengan lebih jelas.

“Saya rasa seronok dapat pengalaman baharu kerana kami masih di peringkat awal pembelajaran. Pameran ini memberi pendedahan yang baik tentang realiti industri,” katanya.

Karnival HAWANA 2025 selama tiga hari bermula hari ini diisi dengan pelbagai program termasuk mini konti Bernama, Pocket Talk, perkhidmatan Bernama, pemberian akhbar digital New Straits Times Press Berhad, kuiz dan cabaran membaca berita anjuran Media Prima Berhad.

Turut diadakan ialah cabutan bertuah, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta tayangan video Kempen Internet Selamat (KIS) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, sambutan HAWANA 2025 turut menampilkan Forum Media HAWANA yang akan berlangsung esok, bertujuan memberikan input terhadap perkembangan terkini industri media tempatan.