KUALA LUMPUR: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Aras Tinggi (Hi-TVET) terus diperkasakan dengan memberi tumpuan kepada robotik, Internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) serta pengenalan kepada sistem kenderaan elektrik canggih.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sistem pendidikan TVET baharu itu secara tidak langsung menarik minat pihak luar, terutamanya China.

“BYD umpamanya memberi enam kereta baharu untuk dipelajari pelajar TVET di negara kita ... kalau pembelajaran dahulu gunakan kereta-kereta lama yang generasi pertama dahulu ... jadi teknologi baharu tidak dapat diperoleh.

“Jadi, kita ubahkan sistem dengan mempelajari kereta kenderaan elektrik (EV) dan ini mendapat sambutan baik dan di samping itu juga kita menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak luar negara kerana di Jepun umpamanya, sistem TVET mereka melalui KOSEN dan pelajar-pelajar bermula daripada umur 15 tahun manakala di Jerman mereka bermula daripada 12 tahun,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian beliau di Dewan Negara hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVETN) berkata melalui ekosistem pendidikan TVET yang baharu ini, beliau berharap dasar pendidikan negara dapat diubah suai.

“Perdana Menteri juga memberikan keprihatinan agar mata pelajaran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diberikan penekanan semula kerana kita kekurangan jurutera. Jadi, untuk langkah pertama ini, TVET adalah jawapannya dan insya-Allah kita akan melakukan dengan cara yang sangat proaktif,” katanya.

Mengenai penglibatan belia kaum India untuk menjalankan projek agroekonomi melalui Felda, Ahmad Zahid berkata Felda kini mempunyai 112,638 peneroka merangkumi 108,309 peneroka Melayu, 1,089 Cina, 1,538 India dan 1,702 kaum lain.

“Ini bererti kita mempunyai komposisi yang melibatkan semua kaum. Jadi dalam konteks pemberian tanah untuk projek agroekonomi kepada belia India, pihak Felda juga telah menyalurkan bantuan berdasarkan permohonan yang diterima daripada peneroka dan generasi Felda.

“Bantuan diberikan merentasi semua kaum dan keutamaan diberikan kepada mereka yang berminat dalam bidang keusahawanan serta memenuhi syarat,” katanya.

Mengenai penyediaan perumahan kepada masyarakat Orang Asli, Ahmad Zahid berkata buat masa ini kerajaan belum mempunyai perancangan untuk membangunkan perumahan baharu yang dibina dan dijual di atas tanah rizab Orang Asli.

“Hal ini kerana tanah yang diwartakan sebagai kawasan atau rizab Orang Asli bertujuan utama untuk menyediakan penempatan yang selesa dan lestari kepada masyarakat Orang Asli bukan untuk tujuan komersial.

“Namun, kerajaan sentiasa terbuka untuk meneliti cadangan ini dengan lebih mendalam mengambil kira pelbagai aspek, termasuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli. Sebarang langkah ke arah ini, memerlukan kajian terperinci bagi memastikan hak masyarakat Orang Asli terus terpelihara,” katanya.