• 2025-09-06 01:20 PM

KOTA SAMARAHAN: Projek Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang kini memasuki fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada 12 November 2026 dengan kemajuan kerja setakat ini mencapai 66.17 peratus.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata hospital berkapasiti 300 katil itu bakal menyokong ekosistem pengajaran serta pembelajaran dalam bidang Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS.

Beliau menambah hospital tersebut juga akan menyediakan kemudahan kesihatan kepada penduduk di empat bahagian iaitu Samarahan, Kuching, Serian dan Sri Aman.

“KKR menerusi Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia akan terus memantau kemajuan projek dengan rapi melalui sesi libat urus berterusan dan pemeriksaan berkala.”

Projek bernilai RM485.99 juta itu dilaksanakan secara reka dan bina oleh Perbena Emas Sdn Bhd dengan Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana.

Fasa pertama projek yang merangkumi Pusat Kesihatan Prima telah siap dan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 13 Jun lepas.

Pusat Kesihatan Prima berfungsi sebagai pusat kesihatan harian bagi kes tidak kritikal dengan kemudakan termasuk bilik X-Ray, klinik batuk, klinik mata, klinik warga, makmal perubatan serta bilik pemeriksaan kesihatan awam.

Fasa pertama turut merangkumi pembinaan surau, pusat asuhan kanak-kanak, kafeteria, pondok pengawal, bangunan mekanikal dan elektrik serta tangki air aras tinggi.

Ahmad berkata pemantauan berterusan terhadap projek itu selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan prinsip prihatin dan ihsan terhadap keperluan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa projek ini akan mempercepatkan manfaat kepada warga UNIMAS dan komuniti setempat. – Bernama