SHAH ALAM: Polis menahan seorang wanita dan anak perempuannya selepas disyaki terlibat dalam kes penemuan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Md Yusof Ahmad berkata wanita berusia 41 tahun itu ditahan sekitar pukul 6.15 petang semalam di pekarangan sebuah kilang di Meru, Klang.

Beliau berkata maklumat daripada suspek membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek iaitu remaja perempuan berusia 18 tahun yang juga pekerja restoran makanan segera kira-kira 8.30 malam hari sama di Meru.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek adalah ibu dan anak. Polis turut merampas beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan termasuk sebuah kereta Perodua Bezza, pakaian serta telefon bimbit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Md Yusof berkata kedua-dua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Pada Isnin lepas, polis mengesahkan mayat seorang bayi yang baru dilahirkan ditemukan dalam mangkuk tandas wanita di stesen minyak berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial gambar lokasi kejadian dengan dakwaan ada individu melahirkan anak dalam tandas wanita stesen minyak itu sebelum membuang bayinya.