KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar lebih berwaspada susulan peningkatan kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) kebelakangan ini, terutama ketika kemeriahan musim cuti sekolah.

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Ch’ng Tong Wei berkata situasi penularan ketika ini membimbangkan dan memerlukan tahap kesedaran serta langkah pencegahan yang lebih tinggi.

“Sebagai pakar penyakit berjangkit pediatrik, saya mendapati semakin banyak rujukan kes ke hospital, pertanyaan daripada ibu bapa serta permintaan nasihat daripada tadika dan prasekolah mengenai pengurusan wabak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peningkatan kes yang dilaporkan di Selangor, Johor, Perak dan beberapa negeri lain merupakan peringatan kepada semua bahawa kewaspadaan perlu dipertingkat bukan sahaja di hospital, tetapi juga dalam komuniti.

“SMC sedang memantau rapi situasi ini dengan kerjasama pasukan pediatrik, jururawat dan unit kawalan jangkitan yang berganding bahu bagi membantu ibu bapa serta menguruskan kes secara selamat dan efisien,” katanya.

Menurutnya, dengan mendapatkan maklumat tepat serta mengamalkan langkah pencegahan, orang ramai boleh bersama-sama mengurangkan penularan penyakit dan melindungi kesihatan anak-anak.

“Kita boleh melindungi anak-anak dan mengurangkan jangkitan dengan mematuhi garis panduan kesihatan,” katanya sambil menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar merujuk kepada pakar kesihatan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan lanjut.

Dr Ch’ng menjelaskan bahawa HFMD ialah jangkitan virus yang sangat mudah berjangkit, lazimnya menyerang kanak-kanak berusia bawah lima tahun, dan kebiasaannya menunjukkan simptom seperti demam, sakit tekak, kurang selera makan, ulser mulut yang menyakitkan serta ruam pada tangan, kaki dan kadangkala di kawasan punggung.

Katanya walaupun kebanyakan kes adalah ringan dan sembuh dalam tempoh tujuh hingga 10 hari, sebilangan kecil kes yang melibatkan jangkitan virus EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti meningitis virus, ensefalitis (radang otak) dan komplikasi jantung serta paru-paru.

“Berita baiknya ialah komplikasi ini masih sangat jarang berlaku,” katanya.

Menurut Dr Ch’ng, kebanyakan kanak-kanak pulih tanpa komplikasi, namun pemeriksaan doktor adalah penting sekiranya mereka menunjukkan gejala seperti enggan makan atau minum kerana risiko dehidrasi, demam tinggi melebihi 39 darjah Celsius selama lebih dua hari, serta tanda-tanda seperti lesu, mudah meragam atau tahap kesedaran yang berubah.

“Kes yang teruk mungkin memerlukan rawatan di hospital termasuk pemberian cecair secara intravena, ubat penurun demam dan pemantauan neurologi rapi,” katanya.

Beliau berkata memandangkan tiada rawatan khusus untuk HFMD, langkah pencegahan dan penjagaan keselesaan adalah keutamaan. Ini termasuk memastikan kanak-kanak yang dijangkiti berehat di rumah sehingga semua lepuh kering dan mereka bebas demam sekurang-kurangnya 24 jam.

“Langkah ini paling berkesan untuk mengelakkan penularan virus,” katanya.

Langkah lain termasuk mengamalkan kebersihan diri seperti membiasakan anak mencuci tangan dengan sabun, terutama selepas ke tandas dan sebelum makan, serta membersihkan mainan dan permukaan yang kerap disentuh menggunakan pembasmi kuman berasaskan klorin atau antiviral.

Dr Ch’ng turut menasihatkan agar kunjungan ke kawasan berisiko tinggi seperti taman permainan, pusat jagaan kanak-kanak atau tempat sesak dihadkan buat sementara waktu serta mengelakkan berkongsi peralatan makanan, tuala atau barangan peribadi.

“Bagi kanak-kanak yang dijangkiti, penjaga disaran memberi penjagaan keselesaan termasuk makanan lembut, minuman sejuk dan ubat seperti paracetamol jika mengalami demam atau kesakitan,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes HFMD di negara ini meningkat sebanyak 266 peratus kepada 99,601 kes setakat Minggu Epidemiologi ke-17 tahun ini berbanding 27,236 kes dalam tempoh sama tahun lalu, namun tiada kematian dilaporkan berkaitan penyakit itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 10,421 kes atau 10 peratus melibatkan wabak manakala selebihnya, iaitu 90 peratus atau 89,180 kes berlaku secara sporadik.

SMC, hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, terus menjadi peneraju inovasi perubatan dan penjagaan pesakit dengan menawarkan 28 pusat kecemerlangan, 810 katil berlesen serta lebih 60 kepakaran yang disokong pasukan pelbagai disiplin bagi menyediakan rawatan peribadi dalam kerangka penjagaan holistik.

Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-Kanak SMC menempatkan 50 pakar perunding dan pakar bedah pediatrik merangkumi 26 subkepakaran pediatrik termasuk neonatologi, kardiologi pediatrik, neurologi, onkologi, gastroenterologi dan endokrinologi – yang merupakan jumlah tertinggi dalam kalangan hospital swasta di Malaysia.

Penyedia penjagaan kesihatan itu juga menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang memiliki Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak khusus untuk menyediakan rawatan yang peribadi kepada pesakit cilik.

SMC turut dinobatkan sebagai hospital terbaik dalam bidang pediatrik di Malaysia menerusi Best Specialised Hospitals Asia Pacific oleh Newsweek 2024, dan menerima pengiktirafan antarabangsa lain termasuk tersenarai dalam 250 hospital terbaik dunia selama dua tahun berturut-turut serta anugerah Hospital of the Year (Malaysia) oleh Healthcare Asia Awards selama empat tahun berturut-turut.