BALING: Ibu kepada pemandu Perodua Alza, Norlian Abd Halim, 58, meluahkan rasa syukur dan lega apabila anak, menantu serta dua cucunya hanya mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan yang meragut 15 nyawa di Gerik, Perak, awal pagi semalam.

Menurut Norlian, anaknya, Mohd Lutfi Radzi, 37, menghubunginya kira-kira pukul 8.30 pagi, namun panggilan tersebut tidak sempat dijawab sebelum beliau bertindak menelefon semula.

“Dia beritahu mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan... Makcik ada lihat video kemalangan itu, tapi kerana terlalu sedih, makcik tak mampu tengok sampai habis.

“Makcik bersyukur mereka selamat... Makcik harap anak, menantu dan cucu-cucu cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Pondok Ustaz Bakar, Parit Panjang, dekat sini, hari ini.

Menurut Norlian, menantunya, Nurul Ain Zakaria, 35, yang masih dirawat di Hospital Baling mengalami kecederaan pada tulang rusuk kiri, manakala cucunya, Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, patah kaki kanan.

Sementara itu, seorang lagi cucu, Muhammad Ahsan Nafis, 2, tidak mengalami sebarang kecederaan selepas terjatuh ke dalam longkang. Kanak-kanak itu juga telah menjalani pemeriksaan imbasan X-ray sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mohd Lutfi pula sudah dibenarkan keluar wad, tetapi kini berada di hospital bagi menjaga isteri dan anak-anaknya,” katanya.

Norlian berkata anak dan menantunya yang merupakan guru sedang dalam perjalanan pulang ke Kedah, selepas menyambut Aidiladha bersama keluarga mentua di Terengganu sejak minggu lalu.

Media sebelum ini melaporkan, Perodua Alza yang dinaiki Mohd Lutfi sekeluarga terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Gerik, Perak, awal pagi semalam.

Nahas terbabit meragut 15 nyawa penuntut UPSI yang berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun, yang dikatakan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju Tanjung Malim, Perak.