KUALA LUMPUR: Iklan Raya Monsta 2022 bertajuk “Kembali Aidilfitri” sohor kini di pelbagai platform digital dan meraih lebih 1.5 juta tontonan dalam tempoh 23 jam selepas dimuat naik di YouTube pada Jumaat lepas, sekali gus berada di tempat teratas “YouTube Trending”.

Monsta dalam kenyataan hari ini memaklumkan iklan BoBoiBoy itu juga telah sohor kini dengan tanda pagar #KembaliAidilfitri pada laman Twitter di Malaysia dan Indonesia.

“Di laman Facebook rasmi BoBoiBoy, ia sudah mencapai lebih dari satu juta perkongsian dan tiga juta ‘Like’ manakala di aplikasi TikTok pula, video yang menggunakan tanda pagar #KembaliAidilfitri telah pun mencecah lebih dari 37 juta tontonan,“ menurut kenyataan itu.

Iklan Raya “Kembali Aidilfitri” yang berdurasi selama lapan minit tersebut memaparkan keriangan BoBoiBoy dan rakan-rakan serta Tok Aba dalam perjalanan pulang ke kampung halaman mereka di Kota Hilir.

Menurut kenyataan itu, walaupun iklan raya itu menekankan tentang kepentingan menyambut Aidilfitri dengan yang tersayang, ia turut mengajak semua orang untuk sentiasa mengingati mereka yang meninggal dunia.

Sementara itu, Pengarah Marketing Agency dan Distribution MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkata secara tidak langsung, iklan berkenaan merupakan hadiah istimewa daripada MONSTA buat peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti kepada siri animasi BoBoiBoy dan Mechamato.

Rata-rata netizen pula tersentuh dan berasa hiba melihat watak Tok Aba mengimbau kembali kenangan mesra bersama Amato dan Umi serta merindui kehadiran mereka di sisinya.

Iklan raya “Kembali Aidilfitri” turut ditayangkan di stesen televisyen tempatan TV3 dan Astro Ceria, serta disiarkan di stesen televisyen Indonesia RTV sepanjang perayaan Aidilfitri ini.

Monsta adalah syarikat harta intelek dan watak yang telah menghasilkan pelbagai siri animasi, filem dan produk pengguna dalam masa lebih dari sedekad di mana syarikat itu dikenali dengan francais animasi popular BoBoiBoy, Papa Pipi, siri pelancongan Fly With Yaya, dan Mechamato.

BoBoiBoy merupakan satu kejayaan luar biasa di rantau Asia, dengan lebih enam bilion tontonan di YouTube sehingga hari ini. - Bernama