PUTRAJAYA: Institut Kanser Negara (IKN) dan pusat penjagaan kanser di seluruh negara akan beroperasi dengan keupayaan penuh sepanjang Aidilfitri ini bagi memastikan penjagaan kesihatan pesakit tidak terjejas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata untuk itu pihak IKN melaksanakan penggiliran jadual kerja yang adil antara petugasnya.

Bagi IKN sahaja, beliau berkata terdapat 170 petugas akan berkerja dalam keadaan bersiap siaga bagi memastikan operasi institusi perubatan itu berjalan seperti biasa.

“Mereka terdiri daripada doktor, doktor pakar, jururawat dan lain-lain yang akan memastikan pesakit yang bergantung kepada perkhidmatan berterusan mendapat perhatian sewajarnya,“ katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke IKN di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini di IKN kadar penggunaan katil (BOR) adalah 64 peratus daripada kapasiti 252 katil dan kebiasaannya pada musim perayaan BOR adalah antara 50 hingga 60 peratus.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata IKN bakal menerima dua mesin pemecut linear perubatan (LINAC) baharu tahun ini.

“Mesin LINAC generasi baharu yang diterima oleh IKN ini dilengkapi dengan Stereotactic Body Radiotheraphy yang merupakan rawatan lebih canggih dan berteknologi tinggi menggunakan dos sinaran radioterapi yang tinggi dan tepat untuk memusnahkan sel kanser.

“Penumpuan ini penting bagi rawatan ketumbuhan kecil yang terhad pada satu kawasan terutamanya organ penting seperti otak, jantung dan paru-paru atau hati,” katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat lima mesin LINAC yang beroperasi di IKN, dan penambahan mesin LINAC yang baharu akan memberikan impak positif khususnya dalam mempercepatkan akses rawatan dan memperbaiki hasil klinikal pesakit.

Terdahulu, Dzulkefly menyantuni dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit dan petugas kesihatan di IKN.