• 2025-08-01 09:01 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkukuh usaha memastikan bekalan makanan negara mencukupi melalui pelaksanaan strategi khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurut kenyataan rasmi, inisiatif di bawah Tonggak A RMK13 iaitu Meningkatkan Kerencaman Ekonomi akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengurangkan kebergantungan import dan memperkasa sistem makanan tempatan.

Tiga teras utama strategi ini ialah meningkatkan pengeluaran makanan, memantapkan bekalan, serta memperkukuh rantaian bekalan.

“Pengeluaran agromakanan berskala besar termasuk penanaman padi lima musim dalam dua tahun, penambahbaikan sistem pengairan, penghasilan varieti tanaman berkualiti, dan penggunaan teknologi dalam perikanan menjadi fokus utama KPKM untuk lima tahun akan datang,” menurut kenyataan tersebut.

KPKM turut menyasarkan pertumbuhan sektor pertanian sebanyak 1.5 peratus setahun sepanjang tempoh RMK13.

Selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), RMK13 menetapkan sasaran Kadar Sara Diri (SSR) untuk beberapa komoditi utama.

Antaranya ialah buah-buahan (83 peratus), sayur-sayuran (79 peratus), daging lembu (50 peratus), ayam/itik (140 peratus), telur (123 peratus), perikanan (98 peratus), dan beras (80 peratus).

“Pelaksanaan RMK13 selaras dengan anjakan perubahan KPKM, termasuk pendekatan pemodenan menyeluruh dan penglibatan semua pihak dalam sektor pertanian,” jelas kenyataan itu.

KPKM yakin kerjasama semua pihak akan memperkukuh keterjaminan makanan negara selaras matlamat DAN 2.0 dan RMK13 menjelang 2030. - Bernama