• 2025-08-01 08:57 PM

PUTRAJAYA: Sektor ekonomi jingga dilihat sebagai sektor yang sedang membangun dan berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, menurut Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata sektor ini merangkumi industri kreatif seperti filem, muzik, dan animasi. Ia telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hasil cadangan serta sesi libat urus antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Ekonomi.

“Kementerian Ekonomi telah menerima dan menyambut baik cadangan tersebut (ekonomi jingga) dan telah dimasukkan dalam dokumen akhir (RMK13). Ini satu bentuk intervensi dan proses libat urus itu telah meyakinkan Kementerian Ekonomi bahawa sektor ekonomi jingga, sektor yang membangun dan berpotensi untuk membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi kerana melibatkan setiap menteri dan kementerian dalam penyediaan dokumen RMK13.

Fahmi menambah bahawa perincian manfaat khusus untuk sektor ekonomi jingga akan diketahui semasa pembentangan Belanjawan MADANI 2026 pada Oktober ini.

“Kita akan lihat perincian apa (dan) manfaat khusus kepada sektor ekonomi jingga industri kreatif sewaktu pembentangan Belanjawan MADANI 2026,” jelasnya.

Selain itu, beliau menyambut baik komitmen FINAS dan MyCreative Ventures dalam memastikan industri perfileman, muzik, dan animasi mendapat manfaat sepenuhnya di bawah RMK13.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan komitmen kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi jingga melalui industri kreatif digital.

“Industri kreatif digital negara telah menjana pendapatan berjumlah RM6.3 bilion, dengan nilai eksport mencecah RM850 juta,” kata Anwar semasa pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat. - Bernama