• 2025-06-19 01:45 PM

KUALA LUMPUR: Pendatang baharu Liga Super Imigresen FC perlu menyegerakan pencarian gelanggang rasmi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan, selepas permohonan mereka untuk menggunakan Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah ditolak semalam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Mohd Shazli Shaik Mohd berkata perkara itu penting bagi memudahkan pihaknya melengkapkan jadual pertandingan.

“Imigresen FC perlu memaklumkan kepada MFL lokasi lain yang mereka boleh guna untuk musim depan.

“Seharusnya secepat mungkinlah sebab kita dalam proses akhir untuk menyediakan jadual liga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program LALIGA EXTRATIME di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan Imigresen FC tidak dibenarkan untuk mendaftarkan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang rasmi pasukan itu.

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya Imigresen FC mendaftarkan Stadium Bandaraya di Pulau Pinang sebagai laman sendiri mereka.

Dalam pada itu, Mohd Shazli berkata jadual pertandingan Liga-M kini di fasa akhir dan kini sedang menunggu tarikh pertandingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dan hasil undian Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) yang membabitkan dua pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

“Kita sedang menunggu tarikh daripada AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN). Buat masa ini kita sudah ada tarikh kejohanan ACLE dan ACL 2.

“Cuma kita tidak tahu tarikh dan di mana JDT serta Selangor akan bermain nanti kerana undian akan diadakan pada 15 Ogos nanti,” katanya.