IPOH: Jabatan Imigresen Perak menahan 53 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan di dua premis hiburan di daerah Kinta, awal pagi tadi.

Pengarah berkenaan Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata operasi yang dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bermula 1.30 pagi dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Beliau berkata 175 warga asing dan tempatan diperiksa sebelum 53 warga asing ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 25 wanita warga China, 16 wanita Vietnam, masing-masing seorang wanita warga Thailand dan Indonesia serta 10 lelaki Bangladesh, kesemuanya berusia antara 18 hingga 45 tahun,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Meor Hezbullah berkata kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Ipoh di sini bagi tindakan lanjut.