KUALA LUMPUR: Seramai 25 pendatang tanpa izin ditahan dalam beberapa serbuan di 26 premis di sekitar Lembah Klang semalam kerana disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalanan diri yang sah.

Pengarah Jabatan Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki dan tujuh wanita antaranya dari Indonesia, Bangladesh dan China itu berusia di antara 20 hingga 40 tahun.

“Semua pendatang tanpa izin di bawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut. Mereka yang ditahan didapati bekerja sebagai penjaja, pekerja kedai runcit, kedai makan, gunting rambut, pelayan di pusat hiburan dan pekerja bengkel kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.