KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengulangi bahawa eksport semikonduktor Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) setakat ini masih dikecualikan daripada tarif timbal balas AS.
Beliau berkata bagaimanapun status pengecualian tersebut tertakluk kepada semakan dasar semasa dan boleh berubah pada bila-bila masa.
AS kini sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962 bagi menentukan sama ada import semikonduktor, peralatan pembuatan semikonduktor dan produk terbitan berkaitan boleh menjejaskan keselamatan negaranya, katanya.
“Sepatutnya siasatan itu diselesaikan pada akhir Disember, tetapi (telah) dipercepatkan dan keputusan daripada siasatan ini akan digunakan untuk tindakan selanjutnya termasuk kemungkinan pendekatan pengenaan tarif yang tinggi seperti yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pagi ini,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (Bagan-PH) mengenai impak daripada perkembangan terbaharu berhubung laporan bahawa AS akan mengenakan tarif sekitar 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport dari negara yang tidak menghasilkannya di AS atau tidak merancang untuk berbuat sedemikian.
Tengku Zafrul berkata Malaysia sedang mengambil beberapa langkah mitigasi termasuk berhubung secara langsung dengan Wakil Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan negara itu bagi mendapatkan penjelasan rasmi, di samping memperjuangkan kepentingan pengeksport Malaysia.
Beliau berkata sekiranya tarif dikenakan ke atas produk semikonduktor Malaysia, negara berisiko kehilangan pasaran utama di AS menyebabkan produk keluaran tempatan mungkin menjadi kurang kompetitif.
Bagaimanapun, sehingga kini kerajaan AS belum memuktamadkan secara terperinci mekanisme pelaksanaan tarif tersebut, katanya.
“Berdasarkan maklumat semasa, pengecualian bukanlah berdasarkan negara tetapi mungkin diberikan kepada syarikat yang melabur secara langsung di AS tanpa mengambil kira lokasi syarikat itu di negara lain.
“Oleh itu, impaknya adalah sangat bergantung kepada pelaburan dan operasi syarikat antarabangsa yang berada di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata 65 peratus eksport semikonduktor Malaysia ke AS adalah daripada kalangan syarikat AS yang beroperasi di Malaysia - BERNAMA