NILAI: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 49 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 260 individu dalam operasi selama hampir tiga jam di sekitar Jalan Desa Palma, di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Jafri Embok Taha berkata kesemua yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 60 tahun terdiri daripada 44 lelaki dan lima wanita dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, India, Vietnam, Pakistan, Nigeria, China dan Yaman.
Beliau berkata antara kesalahan dikenal pasti adalah tidak mempunyai pas dan dokumen perjalanan yang sah iaitu di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta tinggal melebihi masa di negara ini mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama.
“Ketika serbuan, terdapat cubaan mereka untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota operasi. Selain itu, seorang lelaki Nigeria yang juga pekerja restoran berusia sekitar 20-an didapati membawa senjata tajam dengan alasan untuk mendapatkan serai, dan lelaki itu telah kita tahan,” katanya kepada pemberita selepas operasi yang turut dihadiri Pengarah JIM Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang, di sini malam tadi.
Menurut beliau kesemua yang ditahan bekerja di pelbagai sektor termasuk restoran, pembersihan, dan pembinaan. Kawasan serbuan merupakan kawasan kediaman dan perniagaan yang didiami oleh warga asing dan tempatan.
Hampir 200 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi tersebut, termasuk dari JIM Negeri Sembilan (JIMNS), Bahagian Operasi JIM Putrajaya, Pasukan Taktikal Khas, JIM Melaka, Jabatan Tenaga Kerja, dan Angkatan Pertahanan Awam.
Jafri berkata kesemua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut. Operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa, dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang, termasuk Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat segelintir warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan membuka kedai dan didapati melepak di premis tersebut. Selain itu, terdapat juga pemilik yang menyewakan rumah kepada golongan ini sehingga kawasan sekitar dipenuhi dengan lambakan warga asing.
“Warga asing yang menghuni sesebuah rumah dianggarkan seramai lima hingga sepuluh orang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan agar tidak melindungi warga asing serta menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung perkara itu bagi menangani isu kebanjiran warga asing.
“Kita sentiasa menerima aduan mengenai ketidakselesaan orang ramai akibat terlalu ramai warga asing di sesebuah kawasan, dan kita mengambil maklum perkara tersebut. Mereka juga tidak semestinya pendatang haram, ada yang memiliki dokumen sah,” katanya lagi.