KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen telah menumpaskan sindiket aktiviti perlombongan wang digital (Bitcoin) yang didalangi dua lelaki warga China dalam satu Operasi Khas yang dijalankan pada 19 Jan (semalam) di kawasan rumah kedai di Cheras.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata operasi hasil aduan dan risikan selama sebulan, bermula pada 10 malam itu, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya
“Pasukan operasi telah diatur gerak ke sebuah premis lot perniagaan dan berjaya menahan dua lelaki warganegara China berusia 28 dan 33 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis dan juruteknik membaik pulih mesin Bitcoin.
“Semasa serbuan dijalankan, kedua-dua individu tersebut gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dokumen perjalanan asal dipercayai disimpan oleh pihak ejen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruslin berkata pasukan operasi telah merampas wang tunai berjumlah RM12,600,30 unit mesin Bitcoin, dua unit mesin cooler Bitcoin, dua unit CPU komputer, satu unit komputer riba dan dua set peralatan testing.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjalankan aktiviti perlombongan wang digital secara haram dengan menggunakan papan tanda perniagaan tinted kenderaan bagi mengelakkan aktiviti tersebut dihidu pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Ruslin, sasaran sindiket ini adalah warga China dan penduduk tempatan selain menyediakan perkhidmatan membaiki dan servis mesin Bitcoin untuk pasaran tempatan manakala bayaran bagi perkhidmatan servis itu dianggarkan antara RM100 hingga RM200 bagi setiap mesin.
Sindiket ini telah beroperasi sejak enam bulan lepas dan mampu menjana pendapatan sekitar sehingga RM100,000 sebulan. Kedua-duanya disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut, katanya.
Sementara itu seorang lelaki Bangladesh yang dikenal pasti bertindak sebagai dalang utama menjadi orang tengah urusan pekerja asing adalah antara enam warga asing yang ditahan menerusi satu operasi jabatan itu di sebuah premis di Ampang, Selangor pada 17 Jan lepas.
Ruslin berkata dalam operasi itu, seramai 16 orang telah diperiksa dan hasilnya, enam warga asing iaitu lima lelaki warganegara Bangladesh dan seorang perempuan warganegara Indonesia berumur antara 27 hingga 56 tahun yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) telah tamat tempoh ditahan.
Beliau berkata dalam serbuan tersebut sejumlah 91 keping I-Kad (kad pekerja asing), 561 keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), 42 pasport warganegara asing, 33 unit cop pelbagai syarikat dan 27 fail berkaitan maklumat syarikat yang diurus telah dirampas dan rampasan turut melibatkan wang tunai berjumlah RM740,050.
Keenam-enam warga asing itu ditahan kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, dan mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tujuan siasatan.–Bernama