• 2025-08-18 04:30 PM

JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) berjaya melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza pada Ahad sempena sambutan Ulang Tahun ke-80 Kemerdekaan Indonesia.

“Kejayaan ini akan tercatat dalam buku sejarah kita dan merupakan hadiah istimewa sempena ulang tahun ke-80 Republik Indonesia,“ kata Ketua Biro Penerangan Pertahanan Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Frega Wenas di sini pada Isnin, lapor agensi berita ANTARA.

Operasi itu dilaksanakan oleh Pasukan Petugas “Garuda Merah Putih II” TNI menggunakan dua pesawat C-130J Super Hercules yang membawa 800 tan bekalan logistik, terdiri daripada makanan, ubat-ubatan, dan pakaian.

Pesawat tentera C-130 itu berlepas dari Pangkalan Udara King Abdullah II di Amman, Jordan pada 10.37 pagi waktu tempatan, menuju ke arah barat daya Gaza. Ketua biro penerangan itu menyatakan bahawa bantuan itu digugurkan di 10 lokasi di Gaza yang dikenal pasti selamat.

“Selepas melakukan guguran udara, kedua-dua pesawat mendarat dengan selamat di pangkalan udara pada 12.25 tengah hari waktu Jordan,“ kata Wenas.

Beliau menyatakan bahawa pengguguran bantuan itu dilaksanakan melalui kerjasama antara TNI, Kementerian Luar dan Badan Amil Zakat Nasional (Baznas).

Sementara itu, Komander Pasukan Petugas “Garuda Merah Putih II” Kolonel Puguh Yulianto menyatakan misi guguran udara itu berjaya disempurnakan.

Beliau berkata misi itu dijalankan atas arahan langsung daripada Presiden Prabowo Subianto dan mencerminkan komitmen Indonesia untuk mendukung solidariti kemanusiaan antarabangsa.

-- BERNAMA-ANTARA