• 2025-07-02 03:01 PM
Insiden bot terbalik di Pulau Perhentian: Polis rakam keterangan tiga saksi

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu telah merakam keterangan daripada tiga saksi berhubung insiden bot penumpang terbalik di perairan Pulau Perhentian Sabtu lepas yang mengorbankan tiga nyawa.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata saksi-saksi tersebut terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 39 tahun. Mereka termasuk pemandu bot dan abangnya, serta seorang mangsa kejadian.

“Siasatan polis sedang dijalankan dan dijangka selesai dalam tempoh seminggu. Fokus utama adalah untuk menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian ini,“ jelas Mohd Khairi semasa Majlis Serah Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.

Beliau menambah bahawa aspek lain seperti keadaan bot dan kelayakan lesen akan disiasat oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Laut Malaysia.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Arsad Kamaruddin secara rasmi dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Terengganu, menggantikan Datuk Wan Rukman Wan Hassan yang bersara wajib.

Dalam kejadian Sabtu lepas, bot yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik akibat ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Perhentian Besar. Tiga penumpang maut dalam tragedi tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu mengesahkan bahawa pemandu bot tersebut positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah berkaitan bahan terlarang. Suspek berusia 22 tahun itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan didakwa di mahkamah esok.