• 2025-08-04 07:30 PM

KUALA LUMPUR: Isu insolvensi rentas sempadan dijangka menjadi antara tumpuan utama di Forum Undang-Undang ASEAN (ALF) 2025 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 19 hingga 21 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata insolvensi rentas sempadan dilihat sebagai satu penyelesaian dalam isu berkaitan perniagaan melalui penggunaan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif dan bukan hanya bergantung kepada prosiding mahkamah.

“Apabila negara anggota ASEAN bekerjasama antara satu sama lain sama ada membabitkan syarikat atau kerajaan, jika wujud halangan tertentu, mereka boleh ke platform antarabangsa seperti mediasi atau insolvensi rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis prapelancaran ALF 2025 di bangunan Parlimen hari ini.

Azalina juga berkata ALF, yang bakal menghimpunkan pakar dan pengamal undang-undang antarabangsa, menjadi platform bagi membincangkan isu undang-undang serantau serta global seperti mediasi, keselamatan dalam talian, jenayah siber, hak asasi manusia dalam perniagaan selain reformasi undang-undang jenayah dan komersial.

Beliau berkata forum itu juga bakal menyaksikan penerimaan kenyataan bersama oleh Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN berkaitan Pemerkasaan Timbang Tara dan Mediasi Komersial Antarabangsa yang merupakan simbol komitmen serta kesatuan negara anggota ASEAN terhadap pembaharuan undang-undang.

“Ini juga mengukuhkan kerjasama yang mencerminkan visi utama ASEAN dalam asas kedaulatan undang-undang demi kemampanan ekonomi dan kesepaduan serantau,” katanya.

Azalina turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama di forum itu pada 21 Ogos.

Beliau berkata forum itu membuka satu lagi lembaran baharu kepada usaha Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam usaha memperkukuh undang-undang negara selaras dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 - BERNAMA