• 2025-08-04 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US pada Isnin susulan laporan pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang lemah, seterusnya mempengaruhi jangkaan pasaran terhadap Rizab Persektuan (Fed) AS.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2350/2385 berbanding dolar US daripada 4.2750/2815 ketika ditutup pada Jumaat.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata bahawa data senarai gaji bukan ladang (NFP) pada Jumaat lepas menunjukkan ketara dalam penciptaan pekerjaan AS, mendorong peniaga mengunjurkan akan berlaku pelonggaran dasar monetari.

“Jangkaan pasaran untuk penurunan kadar faedah Fed AS tahun ini melonjak kepada 64 mata asas, meningkat daripada 33 mata asas sebelum diumumkan. Kebarangkalian akan berlaku penurunan kadar faedah pada September adalah melebihi 90 peratus, manakala Oktober sudah ditetapkan harga sebagai langkah pertama,“ katanya kepada Bernama.

Innes berkata perubahan itu mencetuskan penjualan besar dalam dolar US dan bon kerajaan AS, meningkatkan permintaan bagi mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit apabila sentimen beralih ke arah prospek Fed AS yang dilihat cenderung untuk menurunkan kadar faedah.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mungkin menunjukkan arah aliran positif kerana Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan Kadar Dasar semalaman (OPR) semasa.

“Ini bermakna perbezaan kadar faedah antara Kadar Dana Fed dan OPR akan mengecil pada bulan-bulan akan datang,“ katanya.

Pada penutup urus niaga, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.8652/8677 daripada 2.8407/8452 ketika ditutup pada Jumaat lepas, merosot berbanding pound Britain kepada 5.6296/6342 daripada 5.6208/6293 dan jatuh berbanding euro kepada 4.8978/9018 daripada 4.8752/8826 sebelumnya.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2878/2908 daripada 3.2907/2960 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 258.2/258.5 daripada 258.8/259.4 pada penutupan Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0452/0616 daripada 13.0058/0319 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.38/7.39 daripada 7.35/7.36 sebelum itu - BERNAMA