ISTANBUL: Presiden Iran Masoud Pezeshkian menyatakan kesediaan negaranya untuk menyelesaikan perselisihan dengan Amerika Syarikat (AS) berdasarkan prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.
Pezeshkian mengulangi pendirian ini dalam perbualan telefon dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, Presiden UAE Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
“Kami berharap rundingan dengan AS dapat dimulakan segera dan membawa hasil positif,” katanya kepada Putera Mohammed bin Salman. Beliau menekankan Iran hanya mahukan perjanjian yang adil, mempertahankan hak rakyatnya, serta menyumbang kepada kestabilan serantau.
Putera Mohammed bin Salman menegaskan Arab Saudi tidak membenarkan ruang udaranya digunakan untuk operasi ketenteraan terhadap Iran. “Tiada serangan terhadap Iran akan dilancarkan dari pangkalan AS di negara kami,” titahnya.
Dalam perbualan dengan Presiden UAE, Pezeshkian menyeru kerjasama serantau tanpa campur tangan asing. Sheikh Mohammed bin Zayed pula menyokong inisiatif keamanan yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Ketegangan meningkat selepas serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran pada 13 Jun, diikuti tindak balas Tehran. AS kemudian menyerang tiga lokasi nuklear Iran, mencetuskan konflik selama 12 hari sebelum gencatan senjata diumumkan.