KUALA LUMPUR: Isu penutupan akaun bank kerana disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta risiko penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan antara perkara yang akan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Teresa Kok Suh Sim meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah kerajaan memperkemas koordinasi antara institusi perbankan, Bank Negara Malaysia dan agensi penguat kuasa bagi mempercepat proses rayuan akaun bank yang ditutup atas syak terlibat dalam kes AMLA.
Beliau mahukan prosedur yang lebih telus, berkesan dan tidak membebankan pemegang akaun dapat diwujudkan.
Datuk Mumtaz Md Nawi mengemukakan soalan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengenai perincian projek tenaga hijau dari Vietnam yang akan mendarat di Kelantan sebelum dialirkan ke Singapura.
Beliau juga ingin mengetahui perancangan pelaksanaan projek tenaga hijau di Pantai Timur Semenanjung bagi peringkat ASEAN.
Sementara itu, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman meminta Menteri Komunikasi menjelaskan langkah membendung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan seperti deepfake dan ChatGPT dalam penyebaran berita palsu.
Beliau menekankan kebimbangan terhadap manipulasi imej dan suara yang boleh menimbulkan keresahan awam dan ketegangan antara kaum.
Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat akan diteruskan dengan sambungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat dasar yang memasuki hari kelima.
Perbahasan belanjawan 2026 ini dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lepas.
Sesi perbahasan peringkat dasar diadakan selama lapan hari sehingga 28 Oktober manakala perbahasan peringkat jawatankuasa selama 14 hari bermula 5 hingga 27 November.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – Bernama

