KUALA LUMPUR: Pemeriksaan fizikal berkala akan dijalankan terhadap pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengesan sebarang aktiviti penderaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu antara lapan tindakan penambahbaikan serta mekanisme pencegahan yang telah dan sedang diambil bagi mengelak kejadian buli daripada berulang.

Beliau berkata selain itu, sesi pertemuan antara pegawai kadet dan pihak tertinggi ALK-UPNM secara eksklusif turut diadakan untuk memberikan ruang bebas tanpa perasaan takut bagi mendapatkan maklumat salah laku dalam kalangan pegawai kadet.

“Ini bagi mengatasi isu keengganan pegawai kadet melapor kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya,“ katanya menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai usaha kerajaan memastikan kegiatan buli di UPNM dinoktahkan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Khaled berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah menambah perjawatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang ditugaskan di ALK-UPNM dan menambah jurulatih bagi meningkatkan pemantauan terhadap pegawai kadet.

Beliau berkata penambahan pegawai melibatkan 48 orang berbanding 31 pegawai sebelum ini manakala 182 LLP ditambah berbanding 124 LLP.

Mohamed Khaled berkata ATM juga menetapkan seorang jurulatih bertugas bagi setiap Kompeni untuk membolehkan pemantauan pegawai kadet yang lebih teliti setiap hari.

“Jurulatih bertugas telah diarahkan untuk melakukan rondaan ke penginapan pegawai kadet selepas 11:59 malam setiap hari,” katanya sambil menambah tindakan pemberhentian akan dilaksanakan terhadap pegawai kadet yang didapati bersalah melakukan penderaan.

Bermula Febuari 2023, beliau berkata tujuh kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di beberapa aras blok penginapan bagi mengesan aktiviti mencurigakan dan kementerian sedang merancang untuk menambah jumlah itu mengikut keperluan dan kesesuaian.

Dalam pada itu, pengasingan pegawai kadet tahun satu dilakukan di Bukit Putera bermula April lepas dan diletakkan di bawah kelolaan jurulatih sepenuhnya memandangkan golongan itu biasanya menjadi sasaran.

Mohamed Khaled memaklumkan kes buli yang dilaporkan di ALK hanya bertambah pada tahun ini berbanding 2022 dan 2023 yang masing-masing merekodkan satu kes.

Beliau berkata kementerian akan mendedahkan bentuk-bentuk kesalahan dan hukuman berat yang dikenakan kepada pembuli, selain menekankan keseriusan kesalahan bersubahat menyembunyikan kejadian buli di ALK.