• 2025-08-16 05:48 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi penekanan khusus terhadap isu obesiti dan diabetes dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentang pada Oktober ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa isu baharu berkaitan penyakit berkenaan dan menantikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan membentangkan perkara itu memandangkan kedua-duanya menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit di negara ini.

“Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati sebanyak 3.55 juta rakyat negara ini iaitu 15.6 peratus yang berusia 18 tahun ke atas, menghidap penyakit diabetes manakala 4.58 juta atau 21.8 peratus mengalami obesiti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan ‘Roczen Universal’ yang dibangunkan oleh Reset Health dan diiktiraf Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom sebagai sebahagian rawatan bersepadu bagi pesakit diabetes.

Dzulkefly bekata obesiti, diabetes, penyakit jantung, strok dan kanser kini menyumbang kepada lebih 70 peratus kematian pramatang dan memerlukan kos lebih RM64 bilion setahun bagi perbelanjaan untuk rawatan dan penjagaan serta akibat kehilangan produktiviti dan kematian awal.

KKM juga katanya telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Reset Health pada September tahun lepas dan memilih Gombak sebagai lokasi perintis program itu melibatkan sembilan komuniti Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) termasuk Kawasan Rukun Tetangga, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Bermula bulan ini, kita menyasarkan 1,000 hingga 2,000 peserta berlebihan berat badan atau obes untuk menyertai kumpulan penilaian program,“ katanya.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan pertukaran MoC antara Reset Academy of Metabolic Sciences diwakili Pengerusi Eksekutif Reset Health Dr David Wong dan Prof Dr Rosmawati Mohammed mewakili Akademi Perubatan Malaysia, sebagai satu langkah penting untuk melatih lebih ramai profesional dalam pengurusan berat badan dan obesiti di negara ini.

Program Roczen Universal adalah platform kesihatan digital komprehensif yang direka untuk membantu individu menurunkan berat badan dan paras gula dalam darah mereka secara percuma - BERNAMA