PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap kenderaan tidak mematuhi standard yang diluluskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menterinya Anthony Loke berkata selain isu integriti, sisatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya wujud sindiket menawarkan perkhidmatan tidak sah seperti meluluskan kenderaan tidak patuh standard ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kita sedang menyediakan laporan pemeriksaan siasatan itu dan memang kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas bersama-sama dengan SPRM.
“Memang kita tahu bahawa dalam pasaran ramai yang cakap ada runner (penghantar), ada kartel dan sebagainya supaya mereka (kenderaan) yang tak lulus pun boleh diluluskan, jadi kes ini memang akan kita teruskan siasatan,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat JPJ Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
Beliau berkata setakat ini tiga petugas Puspakom telah dirakam keterangan berkaitan kes berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ada individu lain dipanggil sekiranya terdapat keperluan.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata kementeriannya akan mengumumkan dalam masa terdekat syarikat atau pihak yang diberikan lesen untuk melaksanakan fungsi pemeriksaan berkala kenderaan bermotor.
Beliau berkata setakat ini, lebih 10 syarikat telah memohon lesen berkenaan, susulan kerajaan tidak meneruskan pemberian konsesi kepada Puspakom sebagai entiti tunggal dalam penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor di negara ini.
Walaupun perjanjian konsesi kerajaan dengan pihak Puspakom telah tamat pada 31 Ogos lepas, katanya syarikat itu masih boleh terus beroperasi kerana mereka sudah mendapat lesen pengendali.
“Apa bezanya ialah mereka tak boleh lagi monopoli sebab dulu diberikan konsesi hanya Puspakom boleh buat pemeriksaan kenderaan, jadi apabila konsesi itu tamat, kita buka untuk permohonan lesen (kepada syarikat lain).
“Jadi ada syarikat-syarikat baharu yang telah memohon lesen dan kita telah proses. Dalam masa terdekat, lesen akan dikeluarkan dan saya akan buat pengumuman berkaitan lesen baharu kepada pengendali baharu.
“Pengendali baharu ini apabila mendapat lesen, mereka juga perlukan masa untuk membina fasiliti, jadi kita harap mungkin dalam hujung tahun ini kita lihat ada operator baharu dalam pasaran supaya memberikan persaingan dan pilihan kepada pengguna,“ katanya.
Sementara itu, Azam berkata pihaknya menjangkakan JPJ akan menyerahkan laporan teknikal berhubung siasatan kes itu dalam tempoh dua minggu.
“Kita nak JPJ siasat dulu. Bila telah lengkap siasatan, saya mahu semua laporan teknikal itu diserahkan kepada SPRM.
“Daripada laporan itu kita akan meneliti dan mungkin ada sudut yang boleh kita siasat di bawah Akta SPRM atau Kanun Keseksaan,“ katanya.