KUALA LUMPUR: Polis selesai merakam keterangan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berhubung isu pensijilan halal.

Teresa hadir memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USTJ) D5 Bukit Aman, pada 10 pagi ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Setakat 12 tengah hari tadi, polis telah menerima 50 laporan berhubung kenyataan Teresa Kok. Kertas siasatan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa dua hari,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Sementara itu Syahredzan memaklumkan lebih 20 soalan telah diajukan kepada anak guamnya dan polis tidak membuat sebarang rampasan telefon bimbit.

“Kes ini disiasat di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) kanun yang sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.