• 2025-09-29 08:38 PM

SHAH ALAM: Jalan Istana di Klang akan ditutup kepada lalu lintas selama tiga jam bermula 7 pagi hingga 10 pagi pada 2 Oktober ini bagi memberi laluan kepada istiadat perarakan pernikahan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Ramli Kasa menyatakan jalan raya lain di sekitar bandar raya Klang tidak akan ditutup tetapi akan dikawal sepenuhnya oleh polis trafik.

Beliau menegaskan tiada sebarang penutupan jalan akan dilaksanakan di daerah lain di Selangor yang tidak terlibat dengan majlis berkenaan.

Ramli menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang notis atau makluman yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab selain makluman rasmi daripada polis.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai lalu lintas berhubung istiadat tersebut boleh diperoleh dengan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999.

Polis merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama yang diberikan demi memastikan kelancaran majlis istiadat perarakan pernikahan diraja ini.

Istiadat perarakan pernikahan diraja melibatkan Tengku Amir Shah bersama pasangannya Afzaa Fadini Abdul Aziz akan diarak menaiki kenderaan istana bermula di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz hingga ke Istana Alam Shah. – Bernama