TUMPAT: Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan menumpukan kepada kawasan sempadan berdekatan negeri itu dalam melaksanakan program penerangan berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Pengarahnya Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata dilaksanakan menerusi Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), ia bertujuan menghebohkan maklumat kepada masyarakat di kawasan sempadan supaya dapat bersama-sama dengan kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dalam negara.

“Kita memberi tumpuan kepada kawasan sempadan seperti jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Jeli supaya penduduk memberi kerjasama dan sokongan padu kepada agensi penguatkuasaan bagi memudahkan kerja-kerja untuk melaksanakan tindakan sewajarnya,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program KOMTIS MAPO di Kompleks Yayasan Pembangunan Ummah Kampung Kajang Sebidang Tumpat, di sini hari ini.

Muhd Nor Aswadi berkata peranan masyarakat setempat amat penting untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa supaya dapat mengekang aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan migran di negeri ini.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image