KOTA BHARU: Demi memastikan warisan seni pertukangan tradisional tidak luput ditelan zaman, seorang anak jati Kelantan gigih mempertahankan seni pembuatan Jebak Puyuh buatan tangan yang kini semakin jarang-jarang ditemukan.
Minat mendalam sejak kecil menjadi pendorong utama buat Mohd Maliki Mohd Rosli, 38, untuk mengekalkan keunikan alat perangkap burung puyuh itu.
Berbekalkan ketelitian dan kesabaran tinggi, tukang kraf tangan yang menetap di Kampung Kraftangan ini menjadikan Jebak Puyuh bukan sekadar alat menangkap burung, sebaliknya simbol warisan Melayu yang sarat nilai seni halus serta ketekunan.
Bagi dirinya, setiap hasil tangan ialah lambang jati diri bangsa yang wajar terus diwarisi generasi akan datang.
“Walaupun zaman sudah berubah, saya mahu seni warisan ini terus ‘hidup’ sekali gus mempunyai pelapis. Ia bukan hanya digunakan sebagai perangkap burung, tetapi sebagai simbol warisan yang penuh nilai seni dan ketelitian,” katanya kepada Bernama di Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan di Istana Balai Besar di sini.
Bercerita lanjut, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata dia mula berkecimpung dalam penghasilan seni kraf tangan berkenaan sejak enam tahun lepas, bermula sekadar hobi ketika waktu lapang.
Minat itu tercetus selepas diminta seorang kenalan membeli Jebak Puyuh di Bachok sebelum dia mula tertarik melihat kehalusan seni kraf berharga RM800 seunit yang akhirnya dijadikan koleksi peribadi.
“Dari situ timbul ilham untuk saya cuba menghasilkan sendiri kerana ketika itu pun Jebak Puyuh sudah sukar ditemukan. Pada awalnya hampir tiga bulan saya ambil masa menyiapkan satu unit berpandukan Jebak Puyuh yang dibeli,” katanya sambil menambah dia turut mengikuti kursus membuat jebak pada 2021 di Kampung Bunohan, Tumpat.
Mohd Maliki berkata pembuatan Jebak Puyuh menuntut kepakaran khusus kerana setiap elemen diperbuat menggunakan buluh yang diraut halus serta dijalin kemas bersama pilihan kayu tertentu antaranya arang bunga, pohon setor dan pohon nangka.
Bahagian tapak diukir motif flora seperti pucuk paku dan ketam guri, diikuti pembentukan badan daripada buluh, tali tangsi atau batang ribu-ribu sebelum disempurnakan dengan kelarai (corak anyaman) serta pemberat daripada timah atau tembaga.
Lazimnya, tempoh menyiapkan sebuah Jebak Puyuh mengambil masa antara sebulan sehingga hampir setahun bergantung kepada kerumitan.
“Ia perlukan ‘mood’ yang baik kerana sangat rumit dan penuh ketelitian. Jika tersilap, perlu dirombak semula daripada bahagian tapak,” katanya.
Disebabkan tahap kesukaran tinggi, harga setiap unit Jebak Puyuh bermula RM2,500 hingga RM5,500 bergantung kepada elemen dan bahan pilihan pelanggan.
“Buat masa ini, saya menumpukan jualan dalam negeri, manakala pelanggan luar Kelantan akan menerima hasil kraf secara serahan tangan bagi mengelakkan kerosakan,“ katanya.
Selain aktif menghasilkan kraf perak, Mohd Maliki turut berkongsi karya seni Jebak Puyuh menerusi akaun TikTok @malikisayapkumbang88 untuk memperkenalkan warisan ini kepada masyarakat secara lebih luas. - Bernama