SHAH ALAM: Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Selangor Norsiah Abd Rahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sementa, Klang, hari ini.

Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid Kampung Sementa untuk diuruskan sebelum dikebumikan pada kira-kira 6 petang tadi.

Menantunya Badrul Hisham Ibrahim, 58, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 12.25 tengah hari tadi di kediamannya di Jalan Kapar, Klang pada usia 78 tahun.

“Allahyarham sebelum ini mengadu sesak nafas dan dibawa untuk menerima rawatan selama lapan hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya kelmarin.

“Allahyarham juga menghidap penyakit kencing manis sejak 15 tahun lalu dan kerap menjalani rawatan dialisis,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham meninggalkan seorang anak dan dua cucu.

Norsiah sebelum ini merupakan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram mewakili Barisan Nasional (BN) selama dua penggal bermula 1974 hingga 1982.