PUTRAJAYA: Sebanyak 66 menara komunikasi di Terengganu yang diperuntukkan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 1 telah siap dibina.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dengan pembinaan itu, ia melonjakkan kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk kepada 97.54 peratus berbanding 93.68 peratus sebelum ini, sekali gus membolehkan penduduk menikmati kualiti perkhidmatan Internet lebih baik.

Menurut MCMC, sebanyak 39 menara telah diaktifkan menggunakan teknologi Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN) iaitu pengguna boleh menikmati perkhidmatan disediakan oleh CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

“Penyediaan perkhidmatan Internet yang kondusif menjadi keutamaan MCMC dan kerajaan, bagi memudahkan urusan harian rakyat serta meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk,“ menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan, daripada 66 menara komunikasi itu, sebanyak 19 menara terletak di daerah Hulu Terengganu, masing-masing 12 menara di Marang dan Setiu, Dungun (sembilan), Besut (lapan) dan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta Kemaman masing-masing dua menara.