KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Projek Mempertingkatkan Persimpangan Lebuhraya Sultan Iskandar Kuala Lumpur sepanjang 1.4 kilometer (km) dapat mengatasi kesesakan lalu lintas di satu daripada kawasan ‘KL Congestion Hot Spot’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kesesakan di kawasan itu dapat dikurangkan daripada empat minit kepada seminit.

“Kajian pernah dilakukan oleh seorang pensyarah dari Universiti Teknologi MARA yang menyatakan purata warga kota terkesan akibat kesesakan lalu lintas satu hingga dua jam sehari ... ini satu masa yang sangat produktif kalau digunakan.

“Jadi saya yakin projek ini akan dapat membantu bukan sahaja mengurangkan kesesakan lalu lintas tetapi juga meningkatkan produktiviti mereka yang menggunakan jalan itu dan memberi kesan baik kepada ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek berkenaan di sini hari ini.

Projek ini melibatkan Jalan Tun Razak, Jalan Tun Ismail, Jalan Ipoh dan jalan di sekitar Kuala Lumpur dengan tambahan satu lorong di kiri dan kanan jalan, langkah menghalakan kenderaan dengan menggunakan penghadang dan pelebaran lima struktur jambatan bernilai RM75 juta.

Zaliha berkata sebanyak 1.7 juta kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap hari dan 2.2 juta kenderaan pada waktu puncak sehingga mencecah enam juta kenderaan dalam satu-satu masa.

Beliau berkata projek penambahbaikan ini juga menjadikan tahap kapasiti (Level of Service) ‘LOS F’ sebelum ini kepada tahap kapasiti (Level of Service) ‘LOS C’ di laluan terlibat.

“Jalan ini dibuka pada Mei 2024 dan pembinaannya bermula sejak Jun 2020 ... projek ini mengambil masa disebabkan COVID-19,” katanya.

Selain itu, Zaliha berkata satu tinjauan akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melihat maklum balas pengguna jalan raya untuk memastikan rakyat berpuas hati dengan penambahbaikan yang dilaksanakan.

Pihak DBKL turut diminta untuk melaksanakan sesi libat urus bersama orang ramai dan pihak yang berkaitan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai bagi projek-projek yang ingin dilaksanakan sebagai persediaan Belanjawan 2025.