• 2025-07-15 10:21 AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal melancarkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis data pelawat dan pelancong mulai Oktober ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban menjelaskan, sistem ini akan menyaring pelawat seawal mereka merancang untuk masuk ke Malaysia. “Kini, data dari pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digabungkan untuk hasil lebih efektif sebelum sebarang keputusan dibuat,“ katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

NIISe turut dilengkapi chatbot bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat tanpa perlu menghubungi kaunter atau telefon. Teknologi AI ini selari dengan inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertemakan “AI for KDN, KDN for AI”.

Selain itu, autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menggunakan pengenalan wajah berasaskan AI untuk meningkatkan integriti proses imigresen. “Teknologi ini mengurangkan pergantungan pada keputusan manusia,“ tambah Zakaria.

JIM juga memperhebat penguatkuasaan terhadap pendatang tanpa izin, dengan 49,000 individu ditahan dan 1,064 majikan dikenakan tindakan tahun ini. Kes-kes ini melibatkan sektor perniagaan seperti restoran, pusat hiburan, dan tapak pembinaan. - Bernama