• 2025-08-05 09:25 AM

VLADIVOSTOK: Enam gunung berapi di Semenanjung Kamchatka, Rusia yang aktif secara serentak disifatkan sebagai fenomena luar biasa oleh saintis, yang menggelarnya sebagai “perarakan letusan”, menurut agensi berita TASS.

“Menurut data kami, kali terakhir aktiviti gunung berapi seaktif seperti ini berlaku di Kamchatka ialah pada 1737, susulan gempa bumi berukuran 9.0 magnitud,“ kata Alexey Ozerov, Pengarah Institut Volkanologi dan Seismologi, Cawangan Timur Jauh Akademi Sains Rusia.

Ozerov berkata, gempa bumi kuat pada 30 Julai lepas berkemungkinan mengaktifkan semula “gergasi tidur” di rantau itu. Yury Demyanchuk, Ketua Stesen Volkanologi di Kampung Klyuchi, berkata beliau tidak pernah menyaksikan aktiviti seaktif ini dalam 50 tahun bekerja di Kamchatka.

“Di Gunung Krasheninnikov, letusan di puncak dan pusat berlaku serentak, menunjukkan proses seismik dalaman yang kuat. Kambalny pula senyap sejak 1979, tetapi kini aktif semula,“ jelasnya.

Letusan terakhir Krasheninnikov dipercayai berlaku pada abad ke-15. “Tiada rekod pemantauan pada 1400-an, jadi kita menyaksikan fenomena alam yang benar-benar unik,“ tambah Demyanchuk.

Enam gunung berapi aktif setakat ini ialah Avachinsky, Klyuchevskoy, Bezymianny, Kambalny, Karymsky, dan Krasheninnikov. Klyuchevskoy menunjukkan letusan semakin kuat dengan aliran lava, manakala Karymsky terus meletus di puncaknya.

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai menjauhi kawasan berisiko tinggi, terutamanya dengan kemungkinan awan abu mencecah altitud enam kilometer. - Bernama-Xinhua