KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menumpaskan dua sindiket pemalsuan pelekat imigresen dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dengan penahanan empat individu termasuk dua penjawat awam dalam serbuan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, Isnin lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata kesemua mereka yang berumur 40 hingga 43 tahun, ditahan dalam operasi khas di Jalan Ipoh; Maluri, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor selepas mendapat aduan dan melakukan risikan selama dua minggu.

“Dalam serbuan pada 6.42 petang itu, JIM telah menahan tiga warga tempatan, iaitu dua wanita, dipercayai dalang utama sindiket berkenaan, dan seorang lelaki. Siasatan awal mendapati seorang daripada wanita berkenaan dan lelaki itu merupakan penjawat awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil serbuan itu, pihaknya berjaya merampas 101 naskhah pasport pelbagai negara, iaitu 74 naskhah pasport Sri Lanka, Myanmar (13), Vietnam (enam), Indonesia (dua), Ghana (dua), serta masing-masing satu pasport India, Pakistan, Bangladesh dan Syria.

Turut dirampas dua unit telefon bimbit dan satu salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan oleh sindiket terbabit.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak penghujung tahun lepas dan mereka dipercayai mengenakan bayaran sebanyak RM11,000 bagi setiap warga asing yang ingin mendapatkan PLKS palsu.

“Hasil semakan awal mendapati butiran pada ePLKS telah dipinda dan ia tidak wujud dalam sistem imigresen. Berikutan itu, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada 11 pagi hari yang sama di dua lokasi di sekitar Jalan Ipoh, JIM menahan seorang warga Pakistan kerana disyaki menjadi dalang sindiket mencetak pelekat palsu imigresen.

Turut diperiksa, seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang sedang berurusan di premis terbabit.

“Semakan awal mendapati lelaki warganegara Pakistan itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini. Siasatan mendapati sindiket ini meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada pendatang tanpa izin di negara ini dengan harga RM100 ke RM120 sekeping mengikut negara yang dicetak.

“Warga Pakistan berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut manakala semua warga tempatan itu pula diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah 13 pelekat palsu terdiri daripada enam visa Bangladesh, India (dua), Amerika Syarikat (dua), masing-masing satu visa Indonesia dan visa Pakistan, satu pelekat muka hadapan biometrik pasport Bangladesh, serta satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak.