BENTONG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menggagalkan dua cubaan penyeludupan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta skrap logam dari luar negara. Operasi itu melibatkan tujuh kontena dengan nilai rampasan dianggarkan RM4.4 juta di Pelabuhan Klang, Selangor.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata operasi itu dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bentong bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 21 Mei lalu.
Dalam serbuan pertama pada pukul 1.15 tengah hari, tiga kontena bersaiz 12.2 meter diperiksa dan didapati mengandungi e-waste seberat 46,726 kilogram bernilai RM700,890 tanpa cukai.
“Barangan itu dipercayai diimport tanpa permit atau membuat pengikraran dagangan import dalam borang kastam satu secara tidak betul,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Serbuan kedua pada waktu yang sama menemui empat kontena mengandungi kepingan aluminium yang diikrarkan secara tidak betul sebagai barangan lain. Rampasan itu berjumlah 105,760 kg dengan nilai anggaran RM3.7 juta tanpa cukai.
Mohd Asri menjelaskan bahawa pengimportan skrap logam memerlukan sijil kelulusan dari SIRIM dan berada di bawah seliaan MITI. Modus operandi penyeludupan ini melibatkan pengikraran palsu dalam borang kastam untuk mengelakkan keperluan permit.
Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.