KUALA LUMPUR: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mula menjalankan siasatan terperinci di kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati pada pukul 10 pagi tadi, bagi memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata struktur tanah di sekitar kawasan berkenaan perlu dijamin selamat sebelum penduduk dibenarkan balik ke kediaman masing-masing, dan beliau menjangka siasatan itu mungkin mengambil masa sehari dua lagi.

Pada masa yang sama beliau memaklumkan kejadian gelonsoran tanah yang berlaku pagi semalam bukannya disebabkan oleh pembangunan berlebihan di kawasan itu seperti yang didakwa oleh sesetengah penduduk,

“Tempat berlaku gelonsoran adalah tanah hak milik swasta yang didaftar sekian lama dan tidak ada sebarang pembangunan di tempat gelonsoran, tetapi di atas tempat gelonsoran ada projek pembangunan yang sedang dilakukan.

“Kawasan itu masih belum siap sepenuhnya. Ia bukan pembangunan high density, tapi lebih kepada lot banglo,” katanya ketika ditemui semasa menyantuni penduduk terjejas di pusat pemindahan sementara mangsa bencana Taman Melawati, di sini, hari ini.

Amirudin berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan kebenaran merancang (KM) kepada pemaju di kawasan berkenaan 10 tahun lepas dan pihak pemaju telah pun mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Teknikal bagi Pembangunan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Beliau berkata tumpuan utama ketika ini adalah kerja-kerja memperbaiki kawasan yang terjejas serta menjaga keselamatan penduduk.

Semalam, hujan lebat berterusan telah menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh di sepanjang Jalan E6 di Taman Melawati di sini, yang menyebabkan polis mengarahkan penduduk di 20 buah rumah berhampiran kawasan kejadian untuk berpindah dari kediaman mereka atas faktor keselamatan.

Ketika ini 23 mangsa daripada tujuh keluarga berlindung di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana di Jalan E5, Taman Melawati.

Amirudin berkata mereka yang terjejas dengan kejadian itu akan menerima bantuan RM500 daripada Pejabat Tanah dan Daerah selain bantuan daripada pusat khidmat kawasan dewan undangan negeri (DUN).

Sementara itu beliau mengingatkan penduduk Selangor yang tinggal di kawasan pesisir pantai supaya bersiap siaga menjelang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 18 Okt hingga 20 Okt ini.

Beliau berkata kejadian itu berisiko menyebabkan kejadian banjir terutama di kawasan pantai dari Klang hingga Sabak Bernam.

“Sebagai langkah siap siaga, kita juga akan membina ban sementara di kawasan yang belum siap dibina ban. Kita juga akan mengaktifkan bilik gerakan daerah 24 jam dengan pusat gerakan peringkat negeri yang akan mula beroperasi pada 12 tengah malam ini,” katanya.