KUANTAN: Seorang ibu dan anaknya cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka dihempap sebatang pokok sawit yang tumbang di Kilometer 23 Jalan Lipis-Benta, Kuala Lipis semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Ismail Man berkata dalam nahas kira-kira 1 tengah hari itu, penunggang motosikal S. Dhanalekchumi, 37, dari Taman Teratai, Benta cedera di leher.

Beliau berkata anak wanita itu K. Tanushrou, 7, pula cedera parah di kepala dan dada akibat kemalangan berkenaan yang berlaku ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.

“Apabila sampai di tempat kejadian, cuaca buruk dengan angin kencang, sebelum tiba-tiba sebatang pokok sawit di lereng bukit tumbang lalu menghempap kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lipis dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di talian 09-3121999.