JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperkenalkan sistem giliran pintar atau smart queue system (SQS) menggunakan kod respons pantas (QR) bagi memudahkan urusan pesakit mendapatkan perkhidmatan klinik pakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sistem giliran itu, yang pertama seumpamanya digunakan di hospital kerajaan di Malaysia, dibangunkan menerusi inisiatif dan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM1 juta.

Beliau berkata sistem itu akan digunakan secara berfasa bermula 1 Julai.

“Sebelum ini pesakit perlu datang awal untuk mendapatkan nombor dan perlu mengambil (giliran) sebanyak dua kali untuk klinik dan farmasi.

“Menerusi SQS, mereka boleh bergerak ke dua lokasi itu dengan hanya satu nombor giliran, sekali gus memudahkan urusan pesakit dan mengurangkan masa menunggu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di hospital itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon.

Onn Hafiz berkata sistem itu turut menghantar notifikasi ke telefon bimbit pesakit apabila nombor giliran mereka hampir dipanggil.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri komited untuk membantu melancarkan perkhidmatan HSA termasuk menaik taraf lapan wad, surau dan tandas yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan projek pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat di HSA, Onn Hafiz berkata perkara itu di peringkat pelaksanaan makmal kajian nilai atau value assessment lab.