JOHOR BAHRU: Atlet lontar peluru negara Jonah Chang Rigan memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri pada Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2025.
Jonah yang mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) berjaya melontar sejauh 18.66 meter dalam kejohanan tersebut.
Pencapaian ini mengatasi rekod lamanya iaitu 18.46 meter yang dicatatkan di Kejohanan Super Siri Olahraga Terbuka Pahang tahun lalu.
Atlet berusia 22 tahun itu mendahului Earl Isaac Mitzler Fredolin dari Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang meraih tempat kedua dengan lontaran 15.39 meter.
Nathanial Majid juga dari MASUM meraih tempat ketiga dengan lontaran 15.14 meter.
Kejayaan ini memberikan suntikan motivasi kepada Jonah menjelang penyertaannya dalam Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember.
Beliau telah mengesahkan kelayakan dan menyasarkan untuk membawa pulang pingat untuk negara. – Bernama