BALING: Seramai 45 individu telah mendaftar sebagai pengikrar derma organ baharu sepanjang tiga hari Program MADANI Rakyat 2025 di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling.
Penyelaras Program Pendermaan Organ Negeri Kedah Dr Norlida Mohd Jamil menyatakan kesedaran orang ramai mengenai pendermaan organ masih berada pada tahap yang rendah.
Beliau berharap promosi derma organ seperti di Program MADANI Rakyat dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan awam mengenai kepentingan pendermaan organ.
Terdapat peningkatan ketara pengikrar baharu di Malaysia pada Ogos tahun ini dengan seramai 5,372 individu termasuk 298 dari Kedah.
Kedah berada pada kedudukan ke-13 dalam senarai pendermaan organ daripada 15 negeri di peringkat nasional.
Hanya 0.88 peratus penduduk Kedah berdaftar sebagai pengikrar derma organ menunjukkan tahap kesedaran yang masih rendah.
Sehingga 5 September lepas, hanya 645 pengikrar baharu mendaftar berbanding 726 pada 2024 dan 1,337 pada 2023.
Statistik terkini menunjukkan 10,805 pesakit masih menunggu transplan organ daripada penderma selepas kematian.
Pesakit kegagalan buah pinggang menduduki tempat pertama dalam senarai menunggu transplan dengan jumlah 10,776 orang. – Bernama