• 2025-09-06 08:20 PM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah sedalam kira-kira 3 meter ketika menjalankan kerja-kerja menggali dan menanam paip di kawasan Universiti Malaysia Sabah.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan lelaki berusia 22 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

JBPM menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tanah runtuh berkenaan pada 1.45 tengah hari sebelum ke lokasi kejadian sejauh 14 kilometer.

Pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggali tanah di tempat kejadian dan membawanya naik menggunakan pengusung sebelum diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu bersama jentera, Polis Diraja Malaysia dan pegawai Kementerian Kesihatan berada di lokasi kejadian sebelum operasi tamat pada 2.50 petang. – Bernama