PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) menggariskan langkah kesiapsiagaan komprehensif bagi menghadapi kemungkinan impak musim Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka membawa cuaca kering dan risiko kebakaran terbuka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), MBD telah bermula pada 10 Mei lepas dan akan berterusan hingga September ini, dengan ciri utama musim itu adalah cuaca yang lebih kering, menyebabkan kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak dijangka mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak.

Beliau yang juga Pengerusi JPBP berkata MetMalaysia turut menjangka jumlah hujan akan berkurangan 20 hingga 40 peratus di Utara Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak bulan ini, namun pada bulan Ogos dan September nanti jumlah hujan di Selatan Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak dijangka meningkat 20 hingga 40 peratus.

“Keadaan cuaca kering yang berpanjangan ini berisiko tinggi menyebabkan pelbagai impak negatif seperti isu kesihatan awam, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan atau belukar, jerebu, serta menjejaskan hasil pertanian,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat JPBP Bilangan 1 bagi tahun 2025.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta wakil-wakil agensi teknikal dan agensi tindak balas.

Ahmad Zahid berkata pada pesyuarat itu beliau telah menekankan tentang kepentingan tindakan awal, penyelarasan yang mantap, serta penyampaian maklumat yang pantas dan tepat, bagi menghadapi sebarang kemungkinan impak bencana, dan usaha kolektif ini adalah asas dalam memastikan daya tahan negara sentiasa diperkukuh.

Beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kekal berada pada tahap siap siaga tertinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan impak MBD dengan kekuatan keanggotaan seramai 24,053 orang dan aset logistik yang komprehensif.

“Sebagai langkah segera dan situasi semasa, saya juga menyarankan agar operasi pembenihan awan (OPA) dilakukan di empangan Malut, Kedah yang kini berada di tahap waspada dapat dilaksanakan bagi memastikan ia tidak turun ke paras kritikal,“ katanya.

Ahmad Zahid berkata langkah mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada juga telah dipersetujui, dengan penggunaan perigi tiub dan pam air Jabatan Pengairan dan Saliran boleh diperluaskan untuk diguna pakai oleh agensi tindak balas seperti JBPM, khususnya bagi operasi pemadaman kebakaran semasa dan di luar musim Monsun Timur Laut.

“Dalam usaha bersama menghadapi situasi ini, JPBN juga telah digesa untuk mengambil langkah sewajarnya, termasuk mengarahkan pengendali bekalan air meningkatkan kecekapan operasi mereka serta menyediakan sokongan logistik untuk mobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.

“Mobilisasi menyeluruh semua agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan daerah juga sedang digerakkan secara bersepadu, melibatkan aspek kesiapsiagaan sumber manusia, logistik, pemantauan, penguatkuasaan dan komunikasi strategik,“ katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau turut menegaskan prinsip ‘No One Left Behind’ dari segi bentuk pengagihan bantuan kepada mangsa bencana, yang jelas mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata susulan keputusan Perdana Menteri pada 21 Mei lepas, satu inisiatif penambahbaikan BWI telah dibangunkan dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mempercepatkan proses pembayaran bantuan tanpa kerenah birokrasi.

Timbalan Perdana Menteri berkata di bawah inisiatif penambahbaikan itu, pembayaran BWI dapat disegerakan kepada satu hingga tiga hari selepas Pusat Penempatan Sementara ditutup, berbanding tempoh satu hingga enam bulan sebelum ini, dan inisiatif BWI BSN itu dijangka dilaksanakan bermula Monsun Timur Laut 2025/2026.

“Secara keseluruhannya, mesyuarat JPBP Bilangan 1 Tahun 2025 mengambil maklum persediaan rapi yang telah dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi MBD serta cabaran berkaitan kemarau dan kebakaran terbuka.

“Ini mencerminkan nilai-nilai keyakinan dan hormat terhadap keupayaan kerjasama antara agensi Kerajaan Persekutuan serta hubungan Kerajaan Persekutuan-Negeri, seperti yang diterapkan dalam kerangka falsafah Malaysia MADANI,“ katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berjaga-jaga ketika menghadapi MBD yang dijangka membawa cuaca lebih kering, serta hadkan aktiviti luar, pastikan pengambilan air yang mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi dan tidak melakukan pembakaran terbuka.